Pages

 
 
Sunday, June 26, 2011

Terima Kasih Mama!

سم الله الرحمن الرحيم 




Salam. Entri kali ini saya tulis khas sempena hari bapa. Walaupun entri ini boleh dikatakan sudah outdated, saya tidak kisah. Sejujurnya setiap kali tibanya hari bapa, saya berasa sedih tak terkata, hinggakan perasaan itu menjadi kosong. Sukar digambarkan bagaimana. Mungkin orang yang kehilangan seperti saya dapat memahami. Jadi, untuk meraikan hari yang baik itu, maka saya dedikasikan sedikit perkongsian, seperti tahun lepas. Insya-Allah jika tiada halangan saya ingin jadikan ini sebagai tradisi setiap tahun.

Kalau diikutkan hati, tidak terdaya saya untuk bercerita mengenai seorang ayah kepada orang lain. Saya tiada hak mahupun pengalaman merasai bagaimana mempunyai seorang ayah. Tapi, setelah melihat dari kaca mata rakan - rakan serta cerita - cerita di televisyen ataupun panggung wayang, saya dapat bayangkan sedikit sebanyak perasaan untuk memiliki seorang insan bernama ayah.

Tidak banyak yang saya tahu mengenai abah, tapi yang saya ingat beliau dahulu mempunyai tiga pekerjaan; polis (sarjan), penyelia di kilang KL Glass (tidak tahu sama ada kilang ini wujud lagi ataupun tidak) dan pengadil bola sepak Selangor. Tidak pula pasti yang manakah pekerjaannya yang dahulu dan seterusnya. Menurut mama saya, abah merupakan seorang lelaki yang sangat berdisiplin, sangat penyayang, penyabar dan tegas. Beliau menggosok bajunya sendiri, pandai memasak dan jarang menyusahkan mama saya sewaktu hidupnya. Saya kagum dengan beliau. Perangai saya pula berlawanan. Tidak berapa mahir dengan kerja - kerja rumah seperti mengemas, mencuci dan memasak.

Petang tadi, saya sibuk bersembang dengan mama sewaktu mama sedang menonton rancangan "Tanah Kubur" di Astro Oasis. Kemudian, ada babak di mana para penggali kubur itu sedang memasukkan jenazah ke dalam liang lahad.
 
Tiba - tiba mama bersuara, "Mama tak ikut sekali masa abah dikebumikan".
Aku terkejut kemudian membalas, "Eh, kenapa mama tak pergi?"
"Kalau mama pergi, mungkin jadi macam tu (sambil menudingkan jarinya ke kaca televisyen, babak seorang ibu meraung tatkala anaknya ditanam ke dalam tanah)".
"Jadi, mama pergi mana?"
"Duduk di rumah."
"Abang cik(abang saya) pergi?"
"Dia pergi. Masa tu dia kecil lagi. Tahun depan baru nak masuk sekolah."
"Adik(saya) di mana masa itu?"
"Kamu di rumahlah."
"Mama dengan adik ke?"
"Kamu kan baru setahun umur. Memanglah mama dengan kamu."

Saya terdiam. Baru saya tersedar yang mama sentiasa berada bersama saya, walaupun dalam keadaan sebegitu. Mungkin ada yang berpendapat mama bersama dengan saya disebabkan tiada siapa yang menjaga saya, ataupun orang perempuan tidak digalakkan pergi ke kawasan perkuburan (menurut sesetengah pihak atas sebab - sebab tertentu), tetapi sebab - sebab itu tidak mengubah hakikat bahawa hati saya tersentuh dengan kenyataan mama. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa mama yang sentiasa tabah membesarkan anaknya yang hanya dua orang (tetapi bagaikan 10 orang). Akan ku cuba untuk membalas jasa mu yang tak terhingga itu, insya-Allah.
 
Selamat Hari Bapa.

0 comments:

Post a Comment

Updates Via E-Mail

Labels